Sunday, November 14, 2010

Kontroversi PKR berterusan berikutan aduan Kuala Nerus

Sunday, November 14, 2010

PETALING JAYA: Kontroversi penyelewengan dan kepincangan dalam pemilihan parti PKR berterusan apabila cabang Kuala Nerus, Terengganu pula menyuarakan rasa tidak puas hati.

Ketua Cabang Wan Bukhari Wan Mohamad mendakwa terdapat tangan-tangan ghaib di peringkat pusat sejak dari mula lagi terlibat dengan manipulasi dalam urusan pemilihan.

"Setiausaha Agung (Saifuddin Nasution Ismail), Jawatankuasa Disiplin dan JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) dengan sengaja mengkhianati dan menzalimi kami dengan sokongan tangan-tangan ghaib," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, protes di depan ibu pejabat PKR di sini semalam yang diketuai oleh bekas Timbalan Setiausaha Agung P Jenapala terhadap parti tidak mendapat sambutan kerana segolongan kecil sahaja ahli yang hadir.


Sekumpulan ahli, tidak sampai 100 orang, yang datang dengan menaiki tiga buah bas mula berkumpul di restauran berhampiran ibu pejabat sejak jam 10.00 pagi.

Parti mula bertindak

Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata parti mula bertindak terhadap aduan yang diterima berhubung pemilihan yang sedang berlangsung.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang melanggar kod etika PKR," katanya selepas menerima memorandum yang mengandungi enam resolusi daripada Ketua PKR Pahang Fauzi Abdul Rahman dalam satu mesyuarat dengan ahli-ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Resolusi tersebut disediakan oleh Kumpulan Rapat Anak Muda PKR di bawah bimbingan calon Ketua AMK Badrul Hisham Shaharin, yang disampaikan kepada Wan Azizah melalui Fauzi.

Enam resolusi tersebut merangkumi;

* Media tidak harus digunakan sebagai medan perdebatan

* Pemilihan parti seharusnya berasaskan idea segar, nilai dan rekod ke arah memperkasa anggota dan rakyat.

* Rapat anak muda memperakui bahawa pemilihan parti kali ini mempunyai banyak masalah.

* Parti mesti dengan segera memberhentikan proses pemilihan yang sedang berlangsung sehingga semua aduan disiasat.

* Memutuskan agar semua calon dan/atau pemimpin di semua peringkat tidak mengambil tindakan meletakkan jawatan dan/atau menarik diri daripada bertanding berikutan krisis yang melanda.

* Atas sifatnya sebagai seorang tokoh yang disegani dan tidak bertanding, Rapat Anak Muda bersetuju agar Fauzi menjadi jurucakap dan membawa resolusi ini untuk diserahkan kepada Presiden parti.


Free Malaysia Today

No comments:

Post a Comment