Monday, December 27, 2010

Chegubard tolak jawatan lantikan timbalan SU Agung PKR



MENOLAK LANTIKAN TSUA KEADILAN DAN MENANTI KEPUTUSAN DAN TINDAKAN SIASATAN.

Kenyataan Media

27 Disember 2010
21 Muharram 1431h

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kepada Yg Berbahagia Datuk Seri Dr. Hjh Wan Azizah Bin Dato’ Hj Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat pada 18 Disember lepas telah membuat pengumuman dengan menamakan saya selaku Timbalan Setiausaha Agong Parti Keadilan Rakyat.

Seperti yang saya katakan dari awal apa juga jawatan yang diberikan saya anggap ia merupakan amanah besar . Saya bukanlah manusia yang menganggap jawatan itu sebagai matlamat yang harus dikejar hingga sanggup memanipulasi segalanya termasuk melakukan penyelewengan demokrasi, tetapi setelah memegang jawatan tidak mampu melakukan apa-apa serta gagal memikul amanah dan hasrat perjuangan rakyat.

Seperti yang dijanjikan saya hanya akan membuat keputusan selepas berbincang dan mengambil pandangan dengan semua teman-teman, keluarga dan seumpamanya. InsyaAllah.......

Namun setelah berfikir panjang dan ambil kira perbagai pandangan, saya ingin memohon maaf kepada Dato Seri Dr. Presiden KEADILAN dan teman-teman yang lain kerana saya terpaksa menolak lantikan tersebut.

Penolakan ini adalah atas prinsip yang pengiktirafan Pemilihan Keadilan 2010 akan hanya dibuat setelah hasil siasatan pemilihan dilaksanakan dan dimaklumkan kepada saya. Saya ingin nyatakan bahawa saya masih menanti hasil penyiasatan dan tindakan terhadap aduan - aduan yang saya dan teman-teman ajukan mengenai Pemilihan KEADILAN 2010. Saya akur dengan nasihat YB Setiausaha Agong agar sabar menanti dan jangan buat bukan-bukan tetapi saya juga meminta beliau ingat dengan kenyataannya yang memberi jaminan hasil siasatan akan diperolehi dalam 2 minggu. Janji ini diungkap ketika Kongres 2010 berlangsung.
Namun juga saya ingin pertegaskan saya akan terus berjuang memperkasakan rakyat demi perubahan negara. Jadual saya saban hari masih penuh dengan aktiviti parti dan bersama rakyat mendesak perubahan.

Saya sayang parti ini dan kerana sayangkan parti inilah saya tegur, saya sayangkan negara ini dan kerana sayangkan negara inilah saya ingin pastikan KEADILAN menjadi sesempurna mungkin sebelum memasuki Putrajaya. Saya masih yakin demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN belum mati (tetapi mungkin gering teruk), namun untuk memastikan keadilan, demokrasi dan ketelusan dalam KEADILAN subur mekar maka kita perlu keberanian mendesak.

Saya tegaskan ini bukan persoalan kewangan atau jawatan kerana itu saya tegaskan saya tolak semua lantikan. Tanpa jawatan pun kita sebenarnya mampu menyumbang terhadap gerakan kalau kita mahu.
Namun saya juga ingin berpesan kepada teman - teman saya yang bersama berkongsi aspirasi ini agar turut bersabar dengan sindiran dan cubaan provokasi pihak tertentu. Mereka ialah golongan yang tidak mahu suara pendesak ada dalam gerakan perubahan, mereka mahu kita lakukan sesuatu diluar batasan untuk memudahkan mereka mencari alasan menyingkirkan kita.

Ingat KEADILAN ini parti rakyat, ia parti bagi tiap rakyat yang memahukan perubahan kerana itu saya dan teman-teman yang berkongsi aspirasi terus menjalankan program di perbagai peringkat.
Dalam konteks nasional juga kita memerlukan kumpulan muda yang sentiasa mendesak perubahan dan penambahbaikan negara. Sesuatu negara akan mudah berada dalam zon krisis apabila anak muda hilang roh mendesak ini.

Kita tidak mahu menuruti budaya pemilihan yang kotor, penipu serta korup seperti yang diamalkan oleh sesetengah parti lain. Apabila individu itu diistiharkan menang semua yang bersuara akhirnya diam disogok dengan berbagai habuan, tidak berbunyi lagi kerana anak mudanya mamai disumbat mulut mereka. Semua ini kononya untuk menjaga kestabilan parti dan menyapu semua kekotoran dan penipuan ke bawah karpet. Ini tidak harus berlaku dalam parti reformasi, kewujudan anak muda kumpulan pendesak harus dilihat dari aspek positif kelansungan nafas semangat reformasi.

Anak muda terus bangkit mengasak keadilan meratah kezaliman.

kenyataan media ini harus dibaca dengan kenyataan media

1. http://chegubard.blogspot.com/2010/12/kenyataan-media-akur-tetapi-tidak.html
2. http://chegubard.blogspot.com/2010/12/respon-terhadap-lantikan-timbalan.html
3. http://chegubard.blogspot.com/2010/12/terus-setia-dengan-keadilan-dan-terus.html

Tuesday, December 14, 2010

Che’Gu Bard Respon Kenyataan S/U Agung PKR


Merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung KEADILAN meminta semua pihak yang membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) termasuk Badrul Hisham Shaharin — bekas calon jawatan ketua sayap Pemuda PKR yang tewas supaya jangan bertindak bukan - bukan.

Laporan yang di siarkan pada 10 Disember 2010, di link http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemilihan-pkr-minta-chegubard-sabar-jangan-buat-bukan-bukan/ adalah respon kepada kenyataan media che'GuBard yang disiarkan di http://chegubard.blogspot.com/2010/12/kenyataan-media-akur-tetapi-tidak.html

Pertama sekali saya tidak pasti apa maksud YB Setiausaha Agong dengan minta che'GuBard jangan buat yang bukan - bukan ? Saya mohon YB Setiausaha agong jelaskan.

Kedua saya berasa hairan, bila kita tampil bertanya kepada JPP atau menghantar persoalan kepada JPP, yang tampil ke depan menjawab ialah YB Setiausaha Agong, tetapi bila tak boleh menjawab bila ditanya butiran lengkap YB Setiausaha Agong akan jawab tak apa kita serah pada JPP..... apakah ini ?

Ketiga undang - undang keadilan apakah ini ? Yang diadukan antaranya ialah kepincangan JPP dan JPP diserahkan untuk menyiasat ?

Keempat beban membuktikan tergalas 100% ke bahu pengadu dan seolah pengadu sendiri perlu menyiasat dan membuktikan.... kita bayangkan aduan dibuat kepada SPRM kerana rasuah orang tertentu dan SPRM pula minta kita siasat untuk buktikan ? Aduan seharusnya diambil bagi memulakan kes dan siasatan harus dibuat termasuk memanggil pengadu.

Kelima ingin saya jelaskan saya selaku Penyelaras Kempen che'GuBard dan rakan - rakannya dalam Pemilihan KEADILAN 2010 dalam pengetahuan saya telah lebih dari satu surat dihantar kepada pihak pusat sama ada JPP, Presiden mahupun Setiausaha Agong sendiri, namun sehingga kini satu pun tidak berjawab. Surat aduan yang terakhir menyenaraikan beberapa aduan kes 'spesifik' yang harus dijawab.

Keenam, ramai sudah mula menyatakan memang ada kelemahan dan ada unsur tidak sempurna. Namun sebenarnya ia melibatkan penipuan bukan kelemahan. Kami mahu tindakan siasatan oleh badan bebas dan jika terdapat kesalahan tentu ada yang harus dihukum.

Saya menyokong tindakan che'GuBard dengan menolak semua perlantikan jawatan kerana jika menerima lantikan maka ia dilihat bersekongkol dengan kabinet yang dibentuk secara penyelewengan demokrasi. Tindakan ini seharusnya dilihat dengan aspek positif kerana dalam KEADILAN ada suara anak muda berani menegakkan keadilan demi menjamin proses demokrasi telus. Jauh dari itu ini bukan persoalan jawatan tetapi persoalan ketelusan.

Saya dan teman-teman juga sayang parti ini, kerana sayanglah kami tegas dalam membaiki dan menangani sebarang penyelewengan demokrasi dalam parti.



Kiriman:
Zulkifli Ibrahim
bekas Exco AMK
Penyelaras Kempen Anak Muda
Penerus Perjuangan Reformasi

Friday, December 10, 2010

Reformasi perjuangan rakyat, bukan perjuangan untuk individu tertentu..


Friday, December 10, 2010

Aktivis Reformasi ingin menekankan bahawa perjuangan reformasi adalah perjuangan rakyat dan bukan perjuangan untuk individu tertentu, samada Anwar Ibrahim atau anak-anak emasnya..

Tuah dah dibuang ke hulu sungai,
Masih kah Jebat menunggu padi di tuai?

Tarikh: 9 Disember 2010

AKTIVIS REFORMASI MENYOKONG TINDAKAN CHE'GUBARD TIDAK MENGIKTIRAF PEMILIHAN PKR

Aktivis Reformasi menyokong tindakan Sdr Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai “Che' GuBard” yang telah membuat pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf keputusan pemilihan parti dengan menuntut penjelasan bertulis daripada parti berhubung pelbagai dakwaan manipulasi, penipuan dan salahlaku JPP serta Sekretariat Ibu Pejabat di bawah pimpinan Setiausaha Agung, YB Saifuddin Nasution.

Aktivis Reformasi mendesak keras agar pimpinan parti khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah, memberi perhatian serius terhadap tuntutan yang dibuat oleh che'GuBard. Aktivis Reformasi sangat kesal jika pucuk pimpinan meremeh-remehkan tuntutan che'GuBard ini. Aktivis Reformasi kini juga sedar bagaimana pucuk pimpinan parti merendahkan tuntutan dari orang bawahan. Pucuk pimpinan harus ingat bahawa orang bawahan inilah yang menyokong parti dengan mengharungi gas pemedih mata, bermandi asid dan dibelasah belantan FRU, terkini dalam demonstrasi isu air Selangor minggu lepas.


Ketika golongan elit bersenang-lenang di keliling Ketua Umum, che'GuBard memimpin massa meskipun tidak memegang sebarang jawatan tinggi parti dan ditentang polis FRU. Tiada gunanya menjadi pemimpin berjawatan tinggi jikalau tidak berani untuk tampil sebagai pejuang kental ketika semboyan menuntut kita turun di jalanan melawan kezaliman.

Aktivis Reformasi amat bersetuju bahawa politik naungan adalah satu malapetaka kepada perjuangan parti. Politik naungan kini sedang melanda PKR apabila kumpulan-kumpulan yang menjadi elitis di sisi Ketua Umum, dengan biaya kewangan mereka yang sungguh mewah, sedang membentuk barisan kepimpinan parti yang baru.

Aktivis Reformasi juga ingin menyatakan kegusaran tentang budaya politik ampu-mengampu yang selama ini menjadi darah daging UMNO, kini sedang menular, berkembang dan subur dalam PKR. Budaya seumpama ini akan membuatkan parti terpesong dari landasan perjuangan sebenar sebagai sebuah gerakan reformasi rakyat.

Parti hendaklah berwaspada dengan kelompok yang berselindung atas nama reformasi tetapi seumpama lintah darat dengan satu tujuan, iaitu mengambil kesempatan mencari projek dan peluang perniagaan. Kumpulan-kumpulan lintah darat ini sedang berada di sekeliling Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan memegang jawatan besar dalam parti. Kumpulan lintah darat ini sedang mengampu pimpinan parti dan mendapat sokongan para-para YB yang lupa diri. Kumpulan lintah darat ini juga mempunyai beberapa YB dalam lingkungannya dan mereka telah dikenalpasti mengampu pimpinan tertentu dan Ketua Umum bagi memastikan dapat bertanding pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Pemilihan secara ‘1 ahli 1 undi’ adalah langkah berani parti untuk menyuburkan demokrasi tetapi hanya jika pemilihan dijalankan dengan telus, adil dan bersih. Justeru itu, jika pemilihan ‘1 ahli 1 undi’ dipenuhi dengan penipuan, manipulasi undi dan amalan politik wang yang berleluasa di sana-sini, maka pemilihan parti tidak membawa apa-apa makna, malah parti akan dilihat berkompromi dengan penipuan dan membenarkan ketidakadilan berlaku dalam parti yang mahu berjuang untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Aktivis Reformasi mengingatkan pucuk pimpinan parti bahawa gerakan reformasi sedang meneruskan perjuangan tegasnya menuntut keadilan dan ketelusan dari SPR melalui siri Demo Bersih, tetapi dalam masa yang sama PKR sedang membenarkan barisan Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik parti dibentuk hasil daripada proses pemilihan yang penuh penipuan dan politik wang.

Aktivis Reformasi berjanji akan terus memelihara prinsip-prinsip keluhuran Gerakan Reformasi sebagai sebuah Gerakan Rakyat seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Permatang Pauh, satu gerakan yang diangkat oleh rakyat sebagai agen perubahan pada tanggal 12 September, 1998.

Akhir sekali, Aktivis Reformasi ingin menekankan bahawa perjuangan reformasi adalah perjuangan rakyat dan bukan perjuangan untuk individu tertentu, samada Anwar Ibrahim atau anak-anak emasnya.


Salam reformasi.

Wednesday, December 8, 2010

Chegubard Tidak Meninggalkan KEADILAN !!



Wednesday, December 8, 2010

Saya memohon maaf kepada banyak pihak termasuk media kerana telah mengelak untuk memberikan kenyataan atau sebarang komen pasca pemilihan KEADILAN 2010.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua teman-teman yang memberikan sokongan yang amat memberansangkan kepada saya dan barisan calon - calon yang bersetuju dengan dokumen Manifestasi Anak Muda - Penerus Perjuangan Reformasi. Kita telah berjaya menggariskan dengan jelas 3 cabaran terbesar, 3 saran gerak kerja dan 5 pelaksanaan praktikal. Manifestasi Anak Muda Malaysia ialah manifesto yang jelas dan praktikal bagi mereformasi AMK dan seterusnya mampu menyerlahkan politik baru dan reformasi yang dilaungkan.

Penghargaan yang tidak terhingga kepada semua teman dari Perlis sampai ke Sabah yang bertungkus lumus menjadi jentera kempen dan pemantau proses pengundian. Kita berjaya melakukan sesuatu yang membanggakan dalam penuh tekanan 'pengaruh' dan kewangan.

Kita telah berjaya membuktikan tanpa politik naungan dan kewangan yang melimpah kita mampu menang jika semua dijalankan secara telus.

Saya telah menghantar bantahan bertulis. Bantahan yang telah menyenaraikan perbagai kepincangan ini tidak mendapat respon bertulis setakat ini.

Saya dengan ini menyatakan akur apa yang berlaku tetapi sama sekali tidak mengiktiraf keputusan pemilihan KEADILAN 2010. Saya masih juga menantikan penjelasan bertulis dalam perkara yang saya bangkitkan.

Saya tidak kecewa kerana saya tewas, kalau kecewa pun adalah kerana saya tidak dapat melaksanakan pembaharuan dalam AMK yang saya dan teman-teman amat yakin mampu menyerlahkan politik reformasi yang kita laungkan selama ini yang telah digariskan dengan jelas dalam Manifestasi Anak Muda Malaysia.

Yang dibangkitkan ialah soal ketelusan bukan siapa kalah atau menang. Kita sering mempersoalkan ketelusan SPR namun apabila kita berdepan dengan cabaran yang sama kita gagal melaksanakan ketelusan tersebut.

Melaksanakan agenda 1 anggota 1 undi adalah satu penciptaan sejarah yang berani. Amat memahami ini proses baru dan banyak kelemahan, tetapi tidak sama sekali berkompromi apabila alasan baru itu sebagai alasan untuk melakukan ketidak telusan dan 'menyapu dibawah pemaidani'.

Pertikaian muncul dari proses penamaan pemilihan cabang, pencalonan jawatan pusat dalam mesyuarat cabang, proses pengundian pusat sehinggalah pemilihan Pengerusi Tetap dengan cara angkat tangan. Semua yang hadir termasuk pemerhati dan media menyaksikan bagaimana undi angkat tangan memilih pengerusi tetap dalam Kongres AMK Pusat pun kiraannya ditipu.

Sehubungan dengan itu saya juga menolak semua jawatan lantikan yang bakal ditawarkan selagi tidak mendapat penjelasan bertulis mengenai apa yang saya bangkitkan dalam bantahan. Ini bukan soal jawatan tapi soal ketelusan. Jika saya menerima lantikan dalam keadaan aduan saya juga gagal diperjelas secara bertulis ini akan membawa erti saya berkompromi dengan sesuatu yang saya pertikaikan sendiri.

Jawatan bukan alasan untuk bekerja. Saya tegaskan tanpa jawatan peringkat pusat saya akan terus setia dalam memperkasakan parti. Saya masih yakin KEADILAN merupakan parti terbaik dalam melaksanakan reformasi dalam negara. Namun KEADILAN juga seharusnya sedia dalam menjamin demokrasi yang telus dalam parti.


che'GuBard