Friday, October 29, 2010

PENGASAS PKR DAKWA PILIH KASIH DALAM JK PEMILIHAN PUSAT.


Jumaat Oktober 29, 2010

KUALA LUMPUR: Salah seorang pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ng Lam Yong pada Jumaat mendakwa wujud pilih kasih dalam Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), sehingga menyebabkan beliau tidak dapat bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), walaupun layak bertanding.

Walaupun dicalonkan oleh dua cabang dari Sabah dan Sarawak, beliau mendakwa cabang tersebut tidak dimaklumkan oleh JPP tarikh akhir penghantaran nama calon kepada ibu pejabat dan hanya mengetahuinya selepas tarikh tutup pengesahan calon pada 16 Okt lepas.

Ng percaya apa yang berlaku kepada dirinya mungkin mempunyai kaitan dengan pendedahan beliau pada 30 Sept lepas, bahawa Naib Presiden PKR Azmin Ali merancang dan menjalankan komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Saya nampak sekarang ini ada satu tangan hitam yang masuk parti untuk campur tangan tentang pemilihan ini. Dulu ada orang cakap PKR ada anak emas... sekarang saya tafsirkan bukan anak emas (tapi) ahli emas".

"Sesiapa yang menyentuh masalah...yang menyentuh perkara yang berkaitan ahli emas ini akan kena balasan. Ini bukan keadilan...ini sudah sampai satu tahap yang begitu serius sekali," katanya pada satu sidang akhbar di sini.

Ng yang kini anggota biasa parti, berkata beliau juga menerima maklumat bahawa ada lagi pemimpin lain dalam PKR yang turut tidak dapat bertanding walaupun menerima pencalonan yang secukupnya untuk layak bertanding, disebabkan tidak dimaklumkan oleh JPP.

Katanya walaupun 24 cabang dari seluruh negara telah membuat aduan mengenai pelbagai perkara melibatkan pemilihan parti, namun mendakwa tiada sebarang respons di atas hal ini.

Menurut Ng yang pernah menjadi anggota MPT selama dua penggal, beliau akan mengumpulkan maklumat mengenai masalah melibatkan pemilihan parti dari seluruh negara dan akan mengumumkan tindakan susulan minggu depan.

Katanya PKR yang selalu mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus dalam mengadakan pilihan raya di negara ini, harus menunjukkan teladan baik dengan mengadakan proses pemilihan yang telus dalam parti.

Pemilihan bagi jawatan tertinggi PKR akan bermula hari ini hingga 21 Nov ini, manakala kongres kebangsaan parti dari 26 hingga 28 Nov.

Ng juga mendakwa bahawa calon PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Ansari Abdullah bukan calon pilihan PKR Sabah tetapi "dipilih oleh beberapa orang atasan sahaja" dalam parti itu.

"Saya dapat maklumat bahawa calon PKR bukan calon sebenar yang dikehendaki PKR Sabah...walaupun sudah empat hari kempen bermula tetapi banyak jawatankuasa perhubungan negeri tidak turun padang.

Jentera pilihan raya PKR Sabah...tidak sampai 10 peratus turun (berkempen)," katanya mengenai pilihan raya kecil tiga penjuru antara Barisan Nasional, Parti Maju Sabah dan PKR itu. - BERNAMA

Sunday, October 10, 2010

SIAPAKAH WANITA PERTAMA DI MALAYSIA


Isteri kepada Datuk Seri Najib Razak itu dikatakan menghina Raja Permaisuri Agung dengan merampas gelaran yang pada sisi Perlembagaan adalah hak Tuanku Nur Zahirah yang selayaknya digelar Wanita Pertama Malaysia.

"Imej beliau di kalangan Wanita Pertama negara Eropah dan Amerika Syarikat sudah tercalar. Mereka tidak mahu dikaitkan dengan beliau yang terpalit dengan bermacam-macam tuduhan yang memalukan negara.

"Yang peliknya bagaimana seorang yang tidak layak memanggil dirinya wanita Pertama atau First Lady dari segi Perlembagaan Persekutuan boleh menganjurkan sidang kemuncak yang mengumpulkan wanita Pertama negara lain walhal beliau sendiri bukan dalam kedudukan itu. Ini amat memalukan imej negara," kata Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi Suara Keadilan.

Zuraida berkata tindakan Rosmah membelakangkan Tuanku Nur Zahirah dengan 'menyamar' sebagai wanita Pertama adalah sesuatu yang mencerminkan kejelekan peribadi beliau.

Malah lebih memalukan dakwaan Rosmah yang mengaku sebagai Wanita Pertama Malaysia dipertikai bukan sahaja oleh pakar Perlembagaan dan juga rakyat negara tetapi pernah dibahaskan semasa sidamng Parlimen.

Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan dalam Bab 1 berkaitan "Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan isterinya" jelas dinyatakan, " Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong".

"Memang kita sudah bawa isu ini di dalam Parlimen dan saya sudah pun membahaskan perkara ini pada sidang yang lepas. Jadi kita akan teliti lagi sekali dan saya akan persoalkan mengapa kerajaan boleh berikan peruntukan dana awam untuk sidang kemuncak ini serta apa peranan dan keperluan penganjuran sidang berkenaan?

"Meskipun telah beberapa kali Rosmah mendapat teguran dan kritikan berhubung sikap beliau yang membelakangi Raja Permaisuri Agong dengan menganggap dirinya sebagai Wanita Pertama negara, namun dia tidak pernah peduli dan ambil kira pandangan dan teguran," tegas Zuraida.

Tambah Zuraida, Rosmah juga masih tidak mahu mengambil iktibar daripada teguran terhadap beliau berhubung isu iklan berwarna dua halaman penuh yang memaparkannya di dalam di New York Times pada April lalu.

Iklan tersebut menyebut ucapan tahniah kepada 'Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

Apa yang menyedihkan kata Zuraida, Perdana Menteri juga menidakkan peruntukan Perlembagaan sambil menyokong Rosmah mengguna gelaran itu dengan mengatakan, 'Wanita Pertama tidak semestinya adalah Permaisuri'.

"Saya nak tanya Najib, nombor satu tu apa, kalau hanya setakat inilah pengetahuan beliau, dia kena belajar balik ilmu kira-kira," sindir beliau

"Ini jelas menampakkan Rosmah tidak menghirau dan menghormati Perlembagaan sedangkan di negara kita memang tidak pernah wujud istilah 'Wanita Pertama'.

"Malangnya apabila Najib dan Rosmah menguasai pentadbiran negara, mereka guna istilah ini dalam negara yang berkonsepkan Raja Berpelembagaan. Mereka tidak ada mengetahui sejarah negara dan tidak peduli kepentingan Perlembagaan," ujar Zuraida lagi.

Sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama mengenai agenda memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.SK

Monday, October 4, 2010

Ulasan Us Zaharuddin Pemberian Wang Ehsan Di Pulau Pinang




Zaharuddin Abd Rahman

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya.

Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran’ dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, kepercayaan warga emas tersebut adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi’. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 ).

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia juga memfatwakan keharusannya pada tahun 2009. Buka teks fatwa di sini

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-

Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta’lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:

Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu’ , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-

Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : “Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita”. Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara’ yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa’ sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu’asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma’ wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda ه

Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas’ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN

· Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka bercampur antara wang halal dan haram.

· Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini. Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.

· Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara’. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.

· Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.

· Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.

www.zaharuddin.net

Zaharuddin adalah pensyarah di UIAM dan juga ahli majlis penasihat Shariah di beberapa bank di dalam negara ini.