Friday, December 10, 2010

Reformasi perjuangan rakyat, bukan perjuangan untuk individu tertentu..


Friday, December 10, 2010

Aktivis Reformasi ingin menekankan bahawa perjuangan reformasi adalah perjuangan rakyat dan bukan perjuangan untuk individu tertentu, samada Anwar Ibrahim atau anak-anak emasnya..

Tuah dah dibuang ke hulu sungai,
Masih kah Jebat menunggu padi di tuai?

Tarikh: 9 Disember 2010

AKTIVIS REFORMASI MENYOKONG TINDAKAN CHE'GUBARD TIDAK MENGIKTIRAF PEMILIHAN PKR

Aktivis Reformasi menyokong tindakan Sdr Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai “Che' GuBard” yang telah membuat pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf keputusan pemilihan parti dengan menuntut penjelasan bertulis daripada parti berhubung pelbagai dakwaan manipulasi, penipuan dan salahlaku JPP serta Sekretariat Ibu Pejabat di bawah pimpinan Setiausaha Agung, YB Saifuddin Nasution.

Aktivis Reformasi mendesak keras agar pimpinan parti khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah, memberi perhatian serius terhadap tuntutan yang dibuat oleh che'GuBard. Aktivis Reformasi sangat kesal jika pucuk pimpinan meremeh-remehkan tuntutan che'GuBard ini. Aktivis Reformasi kini juga sedar bagaimana pucuk pimpinan parti merendahkan tuntutan dari orang bawahan. Pucuk pimpinan harus ingat bahawa orang bawahan inilah yang menyokong parti dengan mengharungi gas pemedih mata, bermandi asid dan dibelasah belantan FRU, terkini dalam demonstrasi isu air Selangor minggu lepas.


Ketika golongan elit bersenang-lenang di keliling Ketua Umum, che'GuBard memimpin massa meskipun tidak memegang sebarang jawatan tinggi parti dan ditentang polis FRU. Tiada gunanya menjadi pemimpin berjawatan tinggi jikalau tidak berani untuk tampil sebagai pejuang kental ketika semboyan menuntut kita turun di jalanan melawan kezaliman.

Aktivis Reformasi amat bersetuju bahawa politik naungan adalah satu malapetaka kepada perjuangan parti. Politik naungan kini sedang melanda PKR apabila kumpulan-kumpulan yang menjadi elitis di sisi Ketua Umum, dengan biaya kewangan mereka yang sungguh mewah, sedang membentuk barisan kepimpinan parti yang baru.

Aktivis Reformasi juga ingin menyatakan kegusaran tentang budaya politik ampu-mengampu yang selama ini menjadi darah daging UMNO, kini sedang menular, berkembang dan subur dalam PKR. Budaya seumpama ini akan membuatkan parti terpesong dari landasan perjuangan sebenar sebagai sebuah gerakan reformasi rakyat.

Parti hendaklah berwaspada dengan kelompok yang berselindung atas nama reformasi tetapi seumpama lintah darat dengan satu tujuan, iaitu mengambil kesempatan mencari projek dan peluang perniagaan. Kumpulan-kumpulan lintah darat ini sedang berada di sekeliling Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan memegang jawatan besar dalam parti. Kumpulan lintah darat ini sedang mengampu pimpinan parti dan mendapat sokongan para-para YB yang lupa diri. Kumpulan lintah darat ini juga mempunyai beberapa YB dalam lingkungannya dan mereka telah dikenalpasti mengampu pimpinan tertentu dan Ketua Umum bagi memastikan dapat bertanding pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Pemilihan secara ‘1 ahli 1 undi’ adalah langkah berani parti untuk menyuburkan demokrasi tetapi hanya jika pemilihan dijalankan dengan telus, adil dan bersih. Justeru itu, jika pemilihan ‘1 ahli 1 undi’ dipenuhi dengan penipuan, manipulasi undi dan amalan politik wang yang berleluasa di sana-sini, maka pemilihan parti tidak membawa apa-apa makna, malah parti akan dilihat berkompromi dengan penipuan dan membenarkan ketidakadilan berlaku dalam parti yang mahu berjuang untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Aktivis Reformasi mengingatkan pucuk pimpinan parti bahawa gerakan reformasi sedang meneruskan perjuangan tegasnya menuntut keadilan dan ketelusan dari SPR melalui siri Demo Bersih, tetapi dalam masa yang sama PKR sedang membenarkan barisan Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik parti dibentuk hasil daripada proses pemilihan yang penuh penipuan dan politik wang.

Aktivis Reformasi berjanji akan terus memelihara prinsip-prinsip keluhuran Gerakan Reformasi sebagai sebuah Gerakan Rakyat seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Permatang Pauh, satu gerakan yang diangkat oleh rakyat sebagai agen perubahan pada tanggal 12 September, 1998.

Akhir sekali, Aktivis Reformasi ingin menekankan bahawa perjuangan reformasi adalah perjuangan rakyat dan bukan perjuangan untuk individu tertentu, samada Anwar Ibrahim atau anak-anak emasnya.


Salam reformasi.

No comments:

Post a Comment