Sunday, November 14, 2010

Mustaffa akan serah bukti Penyelewengan.

Sun, 14 Nove 2010 18:09
E-mail Print

Oleh Fazy Sahir

KAPAR: Calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub berkata pihaknya sedia memberi bukti dalam masa dua hari ini berhubung aduan membabitkan penyelewengan yang wujud sepanjang pemilihan PKR.

Menurut Mustaffa, ketika perbincangan bersama pengerusi Jawantankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah Khamis lalu, beliau dimaklumkan bahawa jawatankuasa itu tidak cukup autonomi untuk membuat sebarang keputusan dalam aduan yang diterima.

"Saya turut dimaklumkan ada anggota yang dipecat dalam JPP. Walaupun mereka tidak cukup autonomi dalam membuat keputusan tetapi panel pemantau akan melihat keputusan dan menilai integriti pegawai seperti yang terkandung dalam aduan saya itu.

"Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, bukti penyelewengan itu akan diserahkan dalam dua tiga hari ini," katanya yang ditemui ketika pemilihan cabang Kapar di Dewan Sri Pinang hari ini.

Beliau yang masih meneruskan cabaran sebagai calon timbalan presiden, yakin aduannya akan diberi perhatian oleh parti selepas jaminan diberi oleh presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Konsep 1 anggota 1undi belum diuji langsung dan tiada percubaan sebelum dilaksanakan. Proses ini wujud kelompongan dan perlu diperbaiki agar tidak mengundang pertikaian dan pergeseran.

"Maka saya harap aduan ini diambil serius dan seperti saya katakan tiada aibnya jika pemilihan ini ditangguhkan sedangkan mereka perlu masa untuk ketelusan JPP dalam mengendalikan pemilihan ini," katanya yang juga penyandang naib presiden.

Impak negatif

Beliau turut mengulas protes yang diadakan semalam dan menyifatkan tindakan itu sebagai tindak balas terhadap kepimpinan parti.

Katanya protes itu disebabkan wujudnya tanggapan meluas yang mengaitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sokongan terhadap calon-calon tertentu.

"Protes itu menjurus kepada pertikaian beliau sebagai ketua umum yang dianggap cuba menyokong beberapa calon tertentu. Namun PKR terbuka dan sedia dikritik dan ini penting untuk politik baru parti," katanya.

Namun beliau bersetuju jika sebarang kemelut yang melanda parti jika tidak ditangani dengan baik, bakal memberi musibah kepada PKR pada pilihan raya akan datang.

Malah masalah itu katanya bakal memberi impak negatif dalam persiapan pilihan raya dalam Pakatan Rakyat.

Semalam FMT melaporkan terdapat protes di hadapan ibu pejabat PKR yang mendesak pemilihan dihentikan dihentikan ekoran wujud pelbagai penyelewengan berlaku.

Seramai 80 orang berhimpun sambil mengibarkan banner yang tertera nama Anwar-Azmin serta ditulis 'pemimpin yang paling kotor,cakap tidak serupa bikin'.

Protes itu turut diketuai bekas-bekas pemimpin tertinggi PKR, P Jenapala dan KS Kotappan yang turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan tersebut.

No comments:

Post a Comment