Friday, August 13, 2010

Dari Meja Ketua Cabang.

SEKOLAH HAMIL KEPADA REMAJA - MENCEGAH LEBIH BAIK DARI UBATI.

Mengikut sumber-sumber dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) statistik pendaftaran anak luar nikah menunjukkan peningkatan dari tahun ketahun. Menurut JPN pada tahun 2007 saja seramai 16,100 orang anak luar nikah telah didaftarkan. Jumlah ini meningkat kepada 16,541 orang pada tahun 2008 dan pada tahun 2009 bertambah lagi kepada 17,303 orang. Lebih memeranjatkan lagi dalam masa 5 tahun terakhir ini, JPN telah mencatatkan seramai 74,723 orang anak luar nikah dari kalangan orang Melayu Islam telah didaftarkan. Di Terengganu saja sebagaimana dilapurkan didalam Sinar Harian beberapa minggu yang lepas tercatat 1,160 kes anak luar nikah sehingga kini.

Kes pembuangan bayi kini makin mengerunkan terutama di kalangan remaja hamil. Berdasarkan statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak tahun 2005, Selangor mencatatkan 105 kes pembuangan bayi diikuti 83 kes di Johor. Bagi tempoh yang sama, Sabah merekodkan 65 kes, Sarawak 34 kes, Negeri Sembilan 24 kes, Pulau Pinang 22 kes, Perak 19 kes, Pahang dan Kedah sama-sama 17 kes, Kelantan 10 kes, Terengganu 5 kes, Melaka 3 kes, Kuala Lumpur 2 kes dan Perlis 1 kes.

Mengikut statistik dari Jabatan Siasatan Jenayah PDRM menunjukkan lebih dari 90% mangsa terlibat dengan jenayah seks dibawah umur 18 tahun. Angka ini bertambah setiap tahun, setakat bulan Januari – Jun 2010 saja dari 1,295 kes sebanyak 324 kes terbabit remaja bawah 18 tahun. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ketika persidangan Dewan Negara baru-baru ini, mendedahkan 21 kes remaja yang mengandung dan bersalin anak luar nikah sejak tahun 2006 hingga kini adalah dari kalangan pelajar. Hasil dari siasatan oleh pihak kementerian menunjukkan bahawa 20 kes adalah suka sama suka antara pasangan manakala 1 kes lagi melibatkan kes rogol.

Kewujudan sekolah hamil ini belum cukup kukuh untuk membendung gejala sosial yang sedang melanda remaja kita, malah ia dikhuatiri akan mencetuskan pelbagai masaalah susulan yang lebih negatif dan kritikal lagi. Antaranya mungkin timbul gangguan terhadap pelajaran, akibat tumpuan tanggungjawab sebagai suami isteri dan sebagainya.

Didalam kes ini kita lebih baik mencari jalan memantau atau mengatasi daripada pelaksaan bagi sekolah remaja hamil, bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati? Malaysia kini sudah ada membina dan mengurus banyak pusat serenti dan pemulihan akhlak bagi remaja telanjur. Tidak dinafikan ianya membantu se-setengah remaja, tetapi sejauh manakah keberkesanannya dalam membentuk sahsiah remaja yang lain. Pandangan saya , jika benar-benar mahu mencegahnya, perlu bermula sekarang dan terbaik gunakan kaedah Islam. Sebenarnya semua pihak perlu memainkan peranan, ibu-bapa, institusi sekolah, jabatan agama, kementerian, kesatuan pelajar dan sebagainya.

Didalam pelajar keagamaan disekolah kini hanya nampaknya sekadar untuk lulus peperiksaan saja, ianya tidak untuk amalan. Kebekalian remaja hamil ini berpunca dari remaja yang mempunyai masaalah disiplin disekolah. Dengan mencegah pelajar-pelajar bermasaalah ini dari akar umbi adalah lebih berkesan, melentur buluh biarlah dari rebunnya. Pihak kerajaan dicadangkan menggalakkan aktiviti-aktiviti keagamaan di sekolah, IPTA/IPTS, surau dan masjid dikampong-kampong atau kawasan perumah. Kursus kepada pelajar bermasaalah bagi menerapkan kefahaman tentang Islam, umpama nya menitikberakkan kecemerlangan didunia dan akhirat. Semua peringkat perlu memahamkan remaja kita bahawa perkara keji dan mungkar boleh dicegah dengan penekanan penting nya menunaikan solat serta menghayati agama dengan lebih mendalam.

Didalam perkara ini wajar lah kerajaan mewujudkan undang-undang melarang melakukan perhubungan seks tanpa kahwin untuk semua, tidak hanya kepada umat Islam saja. Ini kerana kes pembuangan bayi tidak hanya berlaku dikalangan masyarakat Islam.


Oleh
Wan Bukhari bin Wan Mohamad
Ketua Cabang Kuala Nerus.

No comments:

Post a Comment