Thursday, July 22, 2010

Kerakusan Pemerintah di Ganu !!!


Rakusnya Manusia di Bumi Darul Iman

oleh : Mamat Lalat (facebook)

Selasa pada pukul 5.07 ptg
Saya mendengar satu cerita yang menyayat hati dari sahabat-sahabat yang menetap di Kuala Terenganu, bahawa tanah wakaf Kampung Ladang Tok Pelam akan dirobohkan pada akhir bulan ini, tidak sempat menantikan sambutan Ramadan dan Syawal yang terakhir. Kampung ini akan digantikan dengan projek hartanah yang dikatakan akan mengubah pemandangan Kuala Terengganu.

Siapakah Tok Pelam? Menurut cerita, Tok Pelam asalnya dari Tanah Arab dan berhijrah ke Patani dan seterusnya mengajar agama di Kampung Pelam, Hulu Terengganu. Dari situnya Tok Pelam mendapat namanya walaupun saya sendiri kurang pasti nama sebenar Tok Pelam. Makam Tok Pelam terletak di tengah-tengah Tanah Perkuburan Tok Pelam bersebelahan dengan Bulatan Ladang / Bulatan Batu Bersurat. Jasa Tok Pelam dalam berdakwah dan menyebarkan agama Islam amatlah besar dan beliau mewakafkan tanah yang kini menempatkan tanah perkuburan dan perkampungan iaitu Kampung Ladang Tok Pelam yang diberi nama sempena nama Tok Pelam sendiri.

Sekitar tahun 80-an, Masjid Ladang iaitu Masjid Al-Muktafi Billah Shah didirikan dan sebahagian tanah wakaf ini diambil untuk dijadikan kawasan masjid. Namun, malang menimpa penduduk yang tinggal di kawasan sekitar masjid berkenaan apabila rumah yang didirikan sejak sebelum merdeka dinafikan kerana dikatakan berada di dalam kawasan rizab masjid, dan proses merobohkan rumah mereka akan dilakukan tanpa sebarang pampasan.

Yang menghairankan saya, status tanah berkenaan adalah tanah wakaf, mengapakah dengan sewenang-wenangnya mereka menukar status tanah berkenaan? Apa tindakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM)? Mana peranan mereka? Khabar dari penduduk kampung mengatakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak sabar-sabar hendak meruntuhkan kampung berkenaan. Walaupun dibayar pampasan, wang bukan soal utama, hukum dan peraturan agama Islam yang menjadi persoalan di sini. Mengapa tanah wakaf sewenang-wenangnya ditukar status dan dibangunkan yang akhirnya penganut agama lain boleh menetap di situ sedangkan tanah wakaf hak mutlak masyarakat Islam.

Saya ingin memetik kata-kata seorang wanita tua kepada pemimpin setempat semasa majlis berkaitan dengan pengambilalihan tanah wakaf ini diadakan dengan penduduk kampung. Wanita tua berkenaan memohon bantuan kerana rumahnya berada di atas kawasan rizab Masjid Ladang dan beliau tidak mendapat apa-apa pampasan, namun pemimpin berkenaan berkata bahawa beliau sanggup memberi lori kepada wanita berkenaan asalkan cepat keluar dari rumahnya. Lalu wanita itu berkata, inilah sejahat-jahat manusia.

Dimana peranan organisasi agama Islam Terengganu dalam hal ini. Lalu terpacullah dari mulut seorang lelaki yang rumahnya akan dirobohkan pada akhir bulan ini. "Laknatlah semua orang yang bersekongkol dalam memindahmilik tanah wakaf ini, Laknatlah mereka sehingga akhirat".

Dimana kegerunan manusia terhadap hukum Allah SWT? Dan mengapa kita masih bodoh kerana menyokong mereka-mereka yang jahil? Dan, dimana masyarakat Melayu Islam Terengganu ketika tanah wakaf ini dicemari??

1 comment:

  1. DAH TAK LAMA LAGI LAH TU..... DOA ORG TERANIAYA AKA DIMAKBULKAN ALLAH..... KITA TUNGGU JER.. CEPAT ATAU LAMBAT JER PEMBALASAN DARI ALLAH

    ReplyDelete